Selamat Datang Ke Inap Damai Homestay
LUAS, SELESA, MURAH DAN
BERSIH


Translate

Saturday, 17 May 2014

Sejarah Kuala Kubu Bharu (KKB)


KUALA KUBU BHARU

Kuala Kubu Bharu ialah bandar di daerah Hulu Selangor, Selangor, Malaysia. Bandar ini terletak di atas puncak bukit. Ia ialah ibu daerah Hulu Selangor. Di kalangan penduduknya, Kuala Kubu Bharu juga dikenali dengan singkatan KKB.

Sejarah

Kuala Kubu Bharu yang pada mulanya dikenali sebagai Kuala Kubu diletakkan di dalam Pentadbiran Residen-Residen British yang pertama iaitu Presiden Frank Athelstane Swettenham, diikuti oleh J.P Rodger dan Edward Maxwell. Pada masa itu, Kuala Kubu menjadi pintu masuk ke Negeri Pahang. Oleh kerana banjir besar yang melanda, pihak British telah memindahkan pusat pentadbiran mereka ke Kuala Kubu Bharu pada 6 Mei 1931.

Pada tahun 1975, tertubuhnya Majlis Daerah Hulu Selangor yang dipertanggungjawabkan untuk mentadbir dan membuat perubahan di dalam kawasan jagaannya terutama Kuala Kubu Bharu. Banyak perubahan dan pengubahsuaian telah dilakukan dari semasa ke semasa untuk keselesaan dan kemudahan penduduk. Pekan Kuala Kubu Bharu yang dahulunya sunyi kini bertukar corak menjadi pekan yang ceria, bersih dan indah dnegan landskap yang menyejukkan mata memandang. Pada tanggal 15 Januari 1994, Pejabat Pentadbiran Majlis Daerah Hulu Selangor yang dahulunya terletak di bekas Pasar Lama di dalam pekan Kuala Kubu Bharu juga telah bertukar ke kawasan yang lebih luas dan selesa. Pejabat tersebut yang bertempat di Jalan Bukit Kerajaan telah dirasmikan oleh Y.A.B Tan Sri Haji Muhammad Haji Muhd Taib, Menteri Besar Selangor pada ketika itu.

wpe13.jpg (62315 bytes)

wpe14.jpg (91909 bytes)



Mitos buaya putih sakti
Oleh AMREE AHMAD


TINGGALAN rangka kereta api penjajah membuktikan Kuala Kubu
dahulu ialah pusat perlombongan bijih timah utama di negara ini.


SEBUT saja nama Kuala Kubu Baru, kebanyakan kita segera terbayangkan suasana sepi pekan kecil itu yang menjadi pintu masuk utama ke pusat peranginan Bukit Fraser di Pahang.

Juga keheningan jirannya, Ampang Pecah yang terkenal dengan pusat kemahiran belia Pertak selain maktab polis, bomba dan institut tahfiz al-Quran di bawah seliaan Jakim.

Nun tidak jauh dari pekan itu, tidak ramai menyedari hutan simpan Hulu Selangor menyimpan khazanah misteri beberapa lokomotif tinggalan penjajah Inggeris akhir kurun ke-19.

“Semua penduduk di sini tahu cerita kepala kereta api itu namun tiada siapa menemuinya hingga saya sendiri menjumpai lokomotif tersebut,” kata Abdul Rahim Noor Mohamad, 41.

Anak jati pekan itu seterusnya bercerita bagaimana bermula ekspedisi beliau mencari bangkai kereta api lama tersebut yang berjaya tersembunyi di tengah-tengah hutan tebal berkenaan.

Minat mencari lokomotif itu timbul daripada cerita mulut orang tua sejak sekian lama dan maklumat daripada seorang pembalak dikenali sebagai Sallehuddin atau Aki Udang.

“Allahyarham jumpa secara kebetulan pada 1981 tetapi dia terlupa lokasi tepat namun daripada maklumatnya, saya membuat kajian kedudukan sebenar kereta api itu,” jelasnya.

Hasilnya, Abdul Rahim mendapat kisah sebenar pekan itu yang tidak diketahui sesiapa waima Jabatan Muzium Malaysia sendiri termasuk rahsia mitos buaya putih tasik Kuala Kubu.

Hakikatnya tiada seekor buaya pun di situ namun penduduk menggunakan isu reptilia sakti itu sebagai alasan untuk enggan berpindah apabila dipaksa penjajah Inggeris pada tahun 1883.

“Ini kerana mereka tahu muslihat pihak kolonial mahu bina lombong bijih timah terbesar di pekan itu dengan usir penduduk asal Melayu ke hutan bersebelahannya,” kata Abdul Rahim.

Marah dengan kedegilan penduduk, Inggeris lalu meletupkan sebuah empangan yang berusia 100 tahun waktu itu menyebabkan kawasan tersebut dikenali sebagai Ampang Pecah.

Ironi, Pegawai Daerah Hulu Selangor, Sir Cecil Ranking yang cuba membuktikan mitos buaya putih sebagai dongeng turut terbunuh malah mayatnya cuma tinggal sebelah tangan saja.

“Kubur pegawai ini masih ada di halaman Rumah Rehat Kuala Kubu di Jalan Syed Mashor dan batu nisannya mencatatkan ‘Di sinilah semadi pusara tangan Sir Cecil’,” tambah beliau lagi.

Bencana ini biarpun meragut ramai nyawa penduduk, tidak mematahkan niat jahat penjajah untuk projek perlombongan itu malah terus membawa masuk ribuan buruh imigran China.

Galian berharga itu rupa-rupanya banyak terdapat di dalam hutan tebal menyebabkan Inggeris membina landasan kereta api mudah alih untuk pengangkutan bijih tanpa kos besar.

“Malangnya setelah stok bijih habis, semua peralatan lombong termasuk lokomotif dan gerabak kereta api tersadai di tengah hutan puluhan tahun lamanya,” jelas Abdul Rahim.

Bagi mencari tinggalan itu, seseorang kena berjalan kaki selama enam hari kerana ia terletak di sembilan lokasi berselerak dekat Gunung Rajah atau 1,053 meter dari aras laut.

Penemuan pertama pada 19 Oktober 1996 juga menarik minat Jabatan Muzium Malaysia untuk terlibat dalam projek arkeologi di kawasan hutan tersebut namun ia terkandas separuh jalan.

Lucunya, kejayaan Abdul Rahim dijadikan bahan berita utama akhbar Singapura pada 11 Oktober lalu tetapi memaparkan kejayaan rakyatnya menemui artifak bersejarah itu.

“Walhal dua rakyat negara jiran itu yang kononnya dilaporkan membuat 28 kali ekspedisi mencari lokomotif tersebut pun terpaksa bergantung ihsan daripada saya,” katanya kesal.

Beliau seumpama kamus bergerak sejarah Kuala Kubu kini membantu krew paranormal PSI Uncle Seekers menerbitkan dokumentari televisyen 13 siri mengenai lokomotif terbabit.

“Program Onomostik ini mendedahkan kisah sebenar saya menemui rangka tersebut berbanding propaganda akhbar jiran yang mendakwa mereka jumpa dulu kereta api itu,” tegasnya

 

No comments:

Post a Comment